instagrammers

Instagram

31.8.12

Salam Kemerdekaan



 Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-55 tahun

30.8.12

Kenali Tanda Awal Bersalin





Kerja menimbun tapi biasalah pagi-pagi ni enjin nak kena warming up dulu. Dulu masa 2nd trimester sibuk dok mengoogle baby stuff. Tapi ni dah pertengahan 3rd trimester, dah mula start cari kaedah-kaedah bersalin. Baca web Pa&Ma, sekali ternampak entri tanda awal bersalin. Kita copy paste jek lah. Kalau rajin amie pun boleh baca. Boleh gak dia tahu serba sikit kan. Nak harap dia yang google sendiri, hmmm.. 

Ketahui tanda-tanda bersalin dan apa yang akan doktor lakukan bagi memastikan tubuh anda bersedia untuk proses kelahiran seperti yang dinyatakan oleh Dr. Siti Esah Bahari dari Selangor Medical Centre.

Di penghujung kehamilan, setiap ibu hamil akan melalui beberapa tanda yakni petunjuk bahawa masa untuk melahirkan sudah hampir tiba.Ramai yang cemas dan tertanya-tanya apakah tanda yang dialami benar-benar tanda bersalin atau sebaliknya. Oleh yang demikian, perlu anda ketahui bahawa hanya terdapat tiga tanda bersalin. Tanda-tanda yang dimaksudkan ialah:

1. Show 
Ini merupakan tanda awal bersalin. Kebiasaannya dalam bentuk lendir ataupun darah. Jika mengalami tanda ini, anda tidaklah perlu tergesa-gesa bergegas ke hospital. Hal ini kerana tanda sebegini mengambil masa hampir beberapa hari sebelum anda perlu melalui proses bersalin.

 2. Kontraksi 
Dalam keadaan ini, perut anda akan menegang setiap 10 minit. Paling kerap ialah pada kadar 20 saat bagi setiap kontraksi. Bagi kontraksi sebenar, kekerapannya perlulah konsisten, kerap dan bertambah kuat dari semasa ke semasa. Apabila anda melalui kontraksi sebegini, seharusnya anda perlu segera ke hospital untuk mendapatkan pemantauan doktor. Walau bagaimanapun jika hal yang sebaliknya berlaku, (sebagai contoh anda mengalami kontraksi pada kadar 10 minit, kemudian 45 minit, selanjutnya 5 minit) perlu diingatkan keadaan sebegitu bukanlah kontraksi.

3. Air ketuban pecah 
Kebiasaannya keadaan ini berlaku apabila ada pancutan air yang keluar dalam jumlah yang banyak. Perlu anda perhatikan, air yang keluar seharusnya jernih dan tidak berwarna. Namun, jika air itu berwarna hijau, itu menandakan bayi sudah pun membuang air besar ketika masih berada dalam kandungan. Apabila mengalami tanda seperti ini, sebaik-baiknya anda perlu segera berangkat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana jika dibiarkan berlanjutan boleh menyebabkan jangkitan kuman.Kebanyakan wanita hamil keliru dengan perbezaan air ketuban dan air kencing. Bagi mengetahui sama ada, ketuban pecah ataupun tidak, untuk pengetahuan anda, air ketuban keluar tanpa anda mengalami rasa ingin membuang air kecil.

Amaran!!! 
Walaupun ketiga-tiga tanda ini merupakan petanda awal bersalin, namun anda tetap perlu segera ke hospital sekiranya mengesyaki bayi kurang bergerak. Dibimbangi bayi lemas dalam kandungan. Dalam masa 12 jam, bayi perlu sekurang-kurangnya 10 kali bergerak. Jika secara tiba-tiba, anda mendapati bayi kurang bergerak segeralah ke hospital walaupun tidak mengalami tanda awal bersalin.

Rutin pemeriksaan

1. Vaginal examination 
Pemeriksaan ini penting bagi mengetahui sama ada ibu hamil sudah benar-benar bersedia untuk proses kelahiran ataupun tidak. Biasanya, pemeriksaan ini dilakukan setiap dua hingga empat jam. Apabila semakin hampir 10 cm, pemeriksaan lebih kerap dilakukan.

2. Cardiotopograph
Pemeriksaan yang turut dikenali sebagai CTG ini dilakukan untuk memeriksa kekerapan kontraksi.

3. Pemeriksaan tekanan darah 
Pemeriksaan ini penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini sewaktu proses kelahiran.

4. Palpation 
Doktor akan memegang dan memeriksa kedudukan bayi di abdomen ibu bagi mengetahui kedudukannya normal ataupun sebaliknya.

Proses kelahiran

1. Dari permulaan pembukaan pangkal rahim sehingga 10 cm 
Dalam pada itu, peringkat ini terbahagi kepada dua:


  • Senyap (latent)
Pada peringkat ini pangkal rahim akan mula menipis dan membuka sehingga 3 cm.
Ia mengambil masa yang lama. Malah, ada yang mengambil masa sehingga beberapa hari. Biasanya jika anda mengalami tanda show dan serviks tidak terbuka, doktor biasanya akan mengizinkan anda pulang ke rumah.
  • Aktif
Peringkat ini bermula apabila serviks mencecah 3 cm. Inilah masanya anda ditahan di bilik bersalin. Proses pembukaan serviks akan bermula pada kadar yang cepat. Biasanya ia mengambil masa antara lapan jam (anak pertama) dan empat jam (lebih daripada seorang anak). Semakin ramai bilangan anak, semakin cepat serviks membuka. Kontraksi turut menjadi semakin kerap. Pada suatu ketika, kontraksi berlaku setiap 3 minit dan paling akhir setiap 40 saat.

2. 10 cm sehingga bayi keluar 
Bagi kelahiran anak pertama, ia mengambil masa paling maksimum sejam untuk melahirkan anak. Walau bagaimanapun, jika anda tidak melahirkan anak selepas sejam, doktor akan menggunakan alat bantuan seperti vakum atau forsep. Jika masih gagal, pembedahan segera akan dilakukan. Hal ini perlu kerana kepala bayi sudah pun berada di dalam tulang pelvis. Jika terlalu lama bayi akan kekurangan oksigen dan dikhuatiri berlaku komplikasi yang lain pula.

3. Uri dikeluarkan 
Walaupun bayi telah selamat dikeluarkan dari rahim, namun mengeluarkan uri adalah lebih penting kerana jika tidak dilakukan dengan sempurna boleh membahayakan nyawa ibu. Doktor akan memberi ubat yang dikenali sebagai syntometrine bagi mengecutkan rahim. Setelah itu, uri dikeluarkan menggunakan kaedah control cord traction. Cara ini dapat mengurangkan risiko tumpah darah.

Info

Ubat membuang najis 
Ubat yang biasanya diberi kepada ibu hamil sebaik tiba di bilik bersalin dikenali sebagai enema. Suatu ketika dahulu, mereka memang digalakkan menggunakan ubat ini tetapi pada hakikatnya ia tidak bagus kerana boleh melukakan dubur. Namun, jika tidak diberi pula, dikhuatiri najis akan keluar bersama ketika proses meneran. Untuk itu, doktor akan memberi enema dalam jumlah yang kecil, biasanya glycerine. Ubat ini dapat memberikan keselesaan kepada anda dan paling penting tidak melukakan dubur. Namun, jika anda memaklumkan sudah membuang air besar ataupun mengalami cirit-birit, ubat ini tidak akan diberi.
Menyentuh tentang situasi bersalin di dalam tandas, hal ini biasanya berlaku kepada ibu yang beranak ramai. Ini kerana kontraksi yang dialami tidak lagi sekuat ibu yang hamil anak sulung. Oleh kerana itulah masalah ini jarang berlaku kepada ibu yang pertama kali melahirkan. Sehubungan itu, rasa kontraksi dan gesaan membuang air besar adalah sama. Jadi, berhati-hatilah jika anda keliru. Untuk kepastian, segeralah ke hospital. 



29.8.12

Sessi mendobi baju baby



Orang cuti raya pergi beraya. Aku cuti dok sibuk mencuci semua kain baju baby. Kebetulan cuti panjang lebih dari seminggu, tapi laki pulak kena kerja raya ke empat. Jadinya moh kita duduk diam-diam kat rumah sambil cuci-cuci.

Tapi tak ada lah rajin sangat nak cuci guna tangan kan. Masukkan semua sekali dalam washer machine sudah. Apa guna orang susah-susah hadiahkan mesen tu kan. See. Sangat-sangat mempraktikkan pemberian orang. 



Basuh guna mesen pun boleh rasa macam nak tercabut pinggang. 3 round kot. Baju je dah 2 kali mesen. Sangat banyak ok. Sampai masa sidai kat luar tu ada jiran ingat yang aku dah terberanak sebab tengok banyak sangat baju baby. Hari esoknya bila baju-baju dah kering, turn mencuci semua kain bedung, bengkung yang kakna ada bagi dulu. Campur sekali dengan tuala, cadar, sarung bantal, kain lampin semua. Semangat beli kain lampin sampai 10 helai tapi tak tahulah guna ke tak nanti. Sebab memang dah confirm pakai lampin pakai buang jek nanti. Masih belum diberi kekuatan lagi nak guna lampin kain or cloth diapers.

Semua yang dibasuh dah setel and kering. Part nak melipat tu ada sikit bercinta. Sebab baju semua kiut miut kecik. Tang nak mempairing kan tu berpinar biji mata nak kena check satu per satu. Ni dah nak masuk seminggu baru suku jek hasil lipatan. Ishh nak kena siapkan cecepat. Kalau boleh nak ready siap-siap beg ke hospital, kotak baju untuk bawak pergi berpantang semua. Asing siap-siap sebab kita pun tak tahu bila-bila masa jek boleh terberanak kan. Mintak-mintaklah semuanya dipermudahkan. Amin.. 


28.8.12

Cerita Raya 2012


Macam tak banyak aktiviti. Tapi bila tengok gambar, macam banyak pulak yang nak diceritakan. Takpe. Kita padatkan dalam satu entri. Nak dijadikan cerita, tahun ni giliran raya di Terengganu. Kata first year kahwin kan. Kasi can pada encik suami buat keputusan. Tahun depan turn kita, kita lenjan raya kat selatan sebulan. Ekekeke..



Sehari sebelum raya, mereka sangat sibuk bergotong royong buat lemang. Hmm boleh dikatakan ni first time la aktiviti macam ni semua pada aku. Adalah tolong sikit-sikit masukkan beras dalam buluh tu. Sekali ketuk-ketuk nak bagi padat. Lepas tu buluh tu retak. Terus bocor keluar santan. Tak tolong dah lepas tu. Haha. 

 
 
 
 

Time malam raya, kita semua bergotong royong jugak. Membanting tulang bekerjasama main bunga api. Hehe. Anak buah semua tak ada time tu. Yang ada semua mak pak buah. Hah apa lagi. Habis semua mercun dibakonya. Mercun free lah katanya.

 
 
 
 
 
 
 
 

Pagi raya lepas semua balik dari sembahyang raya, sessi gambar-bergambar lah kita. Tak berapa nak complete sebab ipar duai ada yang balik beraya ke rumah in law memasing. Tahun depan kalau dieorang beraya kat sini, kami pulak yang tak ada. Tunggu raya haji jek lah kot kalau nak berkumpul semua.

 
Nak masuk raya keenam gitu, family abang ada balik beraya sebab esoknya ada kenduri rumah sepupu. Bila dah ada budak kecik kat rumah, baru rasa macam suasana tu meriah sikit. Pagi sabtu tu siap-siap, pergi kenduri kahwin. Makan-makan yang sangat kenyang sampai pergi kenduri kahwin yang kedua dah tak larat dah nak makan. Just minum air. Lepas tu balik kampung semula. Dah malam sikit, balik rumah sendiri sebab esoknya dah start kerja. Huwaaa. I is Monday blues. Eh silap. Sunday blues.


19.8.12

Salam Aidilfitri



 Selamat Hari Raya Aidilfitri
&
Maaf Zahir Batin

*dari suami, saya dan baby dalam perut*

18.8.12

Berpesan-pesanlah kita





Sempena dengan bulan baik ini, eloklah kita berpesan-pesan sesama umat dengan amalan yang boleh kita semua lakukan menjelang hari raya antaranya :


  • Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri, bersugi dan memakai wangi-wangian.
  • Menjamah makanan sebelum keluar dari rumah.
  • Memperbanyakkan Takbir.
  • Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain. Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Contohnya,”Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.
  • Memakai pakaian terbaik yang ada. Bagaimanapun, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Demikian juga, tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali yang tidak menutup aurat memang diharamkan di dalam Islam).
  • Menukar jalan ke tempat solat (pergi dan pulang)
  • Menziarah dan merapatkan silaturahim sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.




17.8.12

Berbuka puasa




Tinggal lagi sehari dah nak raya kan. Best best. Tapi kalau dapat bali kampung halaman sendiri lagi best. Huhu. Takpe. Adat orang berumahtangga. Kena bergilir-gilir. Tahun depan kita raya sakan eh *cakap dengan baby dalam perut*. Hehe. Ni nak cerita pasal bukak puasa. Alhamdulillah. Setakat ni masih diberi kekuatan untuk berpuasa walaupun tengah sarat mengandung. Iols sangat teruja sebab tahun ni tak payah nak ganti puasa. Yipiii...

Sepanjang puasa tahun ni, aku dan amie tak pernah lagi berbuka luar. Tak macam tahun lepas. Masa tu kami tengah bercintan cintun. Boleh dikatakan setiap hari berbuka puasa bersama. Dan of course la kena buka puasa kat luar kan. Tak kan nak makan kat rumah bujang aku ataupun amie kan. Tempat feveret aku time tu kat bazar shahbandar. Bazar dia adalah super besar. Macam-macam makanan ada jual. Feveret is ikan bakar dengan air soya sedap dia. Air soya tu tak kan ada jual kat tempat lain selain situ jek.

Lepas dah siap beli-beli semua, kiteorang akan cari port tempat duduk yang agak-agak selesa. Kawasan dia kat sebelah bazar tu jek kat area rumput-rumput. Ramai okeh orang lain yang berbuka kat situ jugak. Boleh dikatakan memang penuh satu padang. Ada tu siap bawak satu family sampai atok nenek yang duduk kat kerusi roda pun ada jugak. Best. Macam suasana berkelah.

Aku time tu semangat siap bawak nasi satu rice cooker. Lauk boleh beli jek kan kat bazar. Air paip untuk basuh tangan memang ada jek standby dalam kereta. Ouh surat khabar jugak kena ada untuk alas tempat duduk. Meriah sangat bila makan beramai-ramai. Dengar bunyi meriam meletup, terus suasana jadi sunyi sepi sekejap sebab semua orang tengah dok syiok makan. Tapi tu semua suasana tahun lepas. Tahun ni aku tak dapat nak rasa lagi. Ingat nak ajak amie lah petang ni. Dah lama tak rasa. I is mengidam nak bukak puasa style macam tu. Boleh gitu? Haha haruslah boleh kan. =)


16.8.12

Iklan raya

Sedih okeh iklan ni. Korang tengoklah sendiri. Nak sambung menitik air mata jap..


15.8.12

Deliver dimana?



Orang semua sibuk dok planning nak beraya dimana, aku ni pulak tengah sibuk memikir nak beranak kat mana nanti. Kalau beranak hospital gomen, ok jek. Sebab buku merah semua dah ada. Tapi kalau nak beranak kat swasta, kena dah start survey-survey sekarang. Sebab at least kena buat check up dengan hospital swasta tu dua kali sebelum nak beranak tu. So macam sedang elok jek lah. Kandungan aku sekarang ni dah 7 bulan 3 minggu. Lebih kurang 2 bulan lagi nak beranak. Means dua kali check up lah kalau pilih kat swasta kan.

Kalau ikut aku, kat mana-mana pun takpe asalkan semuanya selamat. Aku ni tak adalah nak memilih doktor tu nanti mesti perempuan. Even amie pun tak berkisah sangat asalkan semuanya selamat. Jadinya kena buat pilihan. Kalau beranak kat hospital kerajaan ni, kita tak boleh nak memilih sangat. Even kita ada guarantee letter dari company pun, kita tak boleh nak pilih 1st class kalau dah bilik tu penuh kan. Duduklah kau kat katil mana-mana yang kosong. Tapi dieorang jaga ok jek cumanya laki kita lah tak boleh nak ada kat sisi kita 24 jam. Boleh jenguk sekejap-sekejap. Dimana aku tak boleh kalau macam tu. Ye mamang aku ni boleh jek survive kalau sorang-sorang. Tapi ni antara hidup dan mati kita, at least biarlah waris terdekat kita tu ada dengan kita kan.

So kami sepakat laki bini pilih swasta jek lah senang. Tapi kat area terengganu ni tak banyak pilihan. Yang ada pun cuma KTS. Pasrah jek lah. Lagipun hospital ni dekat sikit dengan opis aku. Senang kalau nak pergi check up. Tak sampai 10 minit dah sampai. Macam semalam aku buat first check up dengan KTS. Setakat ni ok jek. Hospital dia tak lah sebesar hospital gomen. Tapi ok lah. Pakej deliver dia yang aku tengok untuk normal delivery is 1.8k. Gulp. Telan air liur kejap. Tapi nasib baik boleh claim balik dengan company. Jadinya pejam mata jek lah nanti time membayarnya. Semalam pun masa nak bayar bil check up pun tangan dah terketar-ketar. Haha. Mana taknya, check menda yang sama macam kk check. Selalunya kat kk tu free jek. Tapi ni tengok bil, terus berpusing-pusing mata.


14.8.12

40 minggu yang ajaib

Minggu 1
Bayi
Lapan hari selepas persenyawaan, blastocyst akan merembeskan mukus untuk menyatakan kehadirannya di dalam rahim.
Anda
Anda digalakkan makan lebih banyak asid folik iaitu 400 micrograms (mcg) sehari. Asid folik diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah selain dapat mengelakkan kecacatan janin seperti spina bifida.

Minggu 2
Bayi
Blastocyst mula menggelembung dan membahagi dua kali dalam tempoh sehari. Pada hari ke-12, jumlahnya akan menjadi beribu- ribu. Setelah itu, blastocyst disauh dengan kukuh pada endometrium.
Anda
Dalam minggu ini pula, anda perlu mengambil makanan tambahan yang mengandungi asid folik, besi dan kalsium termasuklah beberapa jenis nutrien penting lain untuk perkembangan bayi yang sihat.

Minggu 3
Bayi
Selepas tiga minggu persenyawaan, saiznya ialah sepanjang 0.08 inci ataupun 2 mm.
Gen mula membentuk tiga lapisan sel daripada organ badan yang akan bergabung.
Anda
Di awal minggu kehamilan anda perlu banyak mengambil kalsium. Antaranya keju. Namun terdapat beberapa jenis keju yang b oleh menyebabkan listeria.
Penyakit ini menimbulkan kesakitan seperti sakit otot, sakit belakang, demam dan kesejukkan.

Minggu 4
Bayi
Pada minggu ini, akan kelihatan bentuk awal otak dan tulang belakang. Jantungnya mengepam darah ke paru-paru dan aorta(urat besar yang mengalirkan darah daripada jantung)
Anda
Senaman dipercayai baik untuk ibu hamil. Apabila anda aktif, anda dapat mengelakkan ketidakselesaan seperti sakit belakang, sukar tidur, sembelit dan keletihan

Minggu 5
Bayi
Walaupun anggota tubuh badan bayi yang jelas kelihatan ialah matanya, namun otaknya masih dalam proses perkembangan.
Begitu juga dengan saluran darah yang tidak lama lagi akan bertukar menjadi jantung.
Anda
Suhu badan yang terlalu panas boleh menyebabkan kecacatan pada bayi. Jadi elakkan aktiviti seperti bersauna, jakuzi dan senaman yang boleh menyebabkan suhu tubuh meningkat.

Minggu 6
Bayi
Jantungnya kini sudah terbentuk dan mula berdenyut. Di akhir minggu ini, saluran yang menghubungkan bayi dengan plasenta mula membesar menjadi tali pusat. Selain itu, saluran darah juga terbentuk. Saiz bayi kini membesar jari kelengkeng dan pergerakkannya hanya dapat dilihat melalui ujian imbasan.
Anda
Jika anda menderita morning sickness, bau-bau tertentu membuatkan anda jadi lebih teruk lagi. Kulit anda juga berubah menjadi lebih gelap sehingga menjadi bertompok-tompok dan mengelupas.

Minggu 7
Bayi
Lubang hidung, bibir, lidah dan giginya dalam proses pembentukkan. Manakala kaki dan lengannya kian berkembang. Dalam pada itu, tulang belakang, usus dan otak hampir terbentuk.
Anda
Anda mungkin berasa pening ataupun pengsan jika berdiri terlalu lama. Selain itu, jika terpaksa berada dalam keadaan sesak, anda juga mungkin berkeadaan sebegini. Anda juga mudah berasa letih.

Minggu 8
Bayi
Mata, telinga dan telinga tengah yang mengawal keseimbangan sudah mula terbentuk. Saluran darahnya juga sudah mula kelihatan. Jantungnya pula mula berdenyut pada kadar denyutan normal. Memandangkan kaki dan lengannya kian berkembang, bayi sudah “pandai” bergerak dan menendang. Walau bagaimanapun, saiznya yang masih kecil, tidak membenarkan anda merasai pergerakannya.
Anda
Perubahan bentuk fizikal mula dialami,puting dan payu dara mula membesar dan mudah sensitif. Lelehan faraj juga makin banyak.

Minggu 9
Bayi
Bentuk muka bayi mula berkembang, malah mulut dan hidungnya jelas kelihatan. Begitu juga dengan kaki dan tangannya.
Anda
Berat badan mula bertambah. Anda digalakkan untuk merekodkan setiap pertambahan berat badan yang dialami. Ketika ini, gusi anda menjadi lebih lembut dan nipis disebabkan oleh perubahan hormon.

Minggu 10
Bayi
Telinga luaran mula jelas kelihatan. Tubuhnya kini mula memanjang iaitu ibu jari dan jari-jari yang lain jelas terlihat tetapi bentuknya belum sempurna seperti jari normal manusia.
Anda
Jumlah darah yang mengalir di dalam tubuh kian meningkat. Ini akan membuatkan anda berasa lebih panas daripada biasa. Saiz rahim anda kini sebesar buah oren.

Minggu 11
Bayi
Majoriti organ bayi sudah terbentuk. Kini, bayi berada dalam zon selamat daripada sebarang ketidaknormalan pada janin dan jangkitan tertentu.
Anda
Ketidakselesaan yang dialami membuatkan anda mudah berasa letih. Jadi, anda perlu mengambil peluang merehatkan diri jika ada kesempatan.

Minggu 12
Bayi
Jantung bayi berdegup antara 110 hingga 160 kali seminit. Pada minggu ini dadanya turun naik kerana dia sudah mula bernafas. Bentuk tubuhnya sudah mula kelihatan. Ibu jari dan jari-jari lainnya sudah lengkap terbentuk. Termasuk kukunya. Bayi sudah mampu menghisap ibu jarinya dan menelan cecair amniotik seterusnya menukarkannya menjadi urin.
Anda
Berat badan anda akan bertambah kira-kira ¼ daripada berat badan normal di antara minggu ini hingga minggu ke-20. Ketika minggu ini anda akan merasa lebih bertenaga berbanding minggu- minggu sebelumnya.

Minggu 13
Bayi
Tulangnya mula berkembang, begitu juga dengan gigi. Pada tahap ini, bayi sentiasa menggerakkan bibirnya sebagai persediaan untuk merangsangkan otot bibirnya supaya daya hisapnya dapat berfungsi dengan baik setelah dia lahir nanti.
Anda
Perubahan ’saiz’ rahim yang kian membesar akan membuatkan anda menyedari bahawa perasan perut anda “buncit”. Dalam pada itu, perubahan warna putting turut berlaku. Warna bahagian tersebut berubah menjadi lebih gelap dan urat biru pada payu dara anda mula jelas kelihatan.

Minggu 14
Bayi
Organ-organ bayi dalam kandungan sudah mulai matang. Dagu, dahi dan hidung kini semakin menyerlah. Bayi juga berupaya untuk menggerak-gerakkan kepalanya dan ada kalanya dia boleh mengerutkan kening.
Anda
Katakan selamat tinggal kepada morning sickness. Saat ini, anda dapat menikmati makan dan minum. Jika beberapa bulan sebelum ini dunia seks anda hambar, jangan risau. Kini, keseronokkan hubungan seks itu muncul kembali dan mungkin lebih baik daripada sebelumnya. Agar hubungan anda dan suami pulih seperti sedia kala, tumpukan perhatian dan berikanlah kasih sayang sepenuhnya pada suami.

Minggu 15
Bayi
Tulang rangka bayi sedang giat berkembang. Kini, kakinya lebih panjang daripada tangan. Rambut pada kepala juga semakin menebal. Begitu juga dengan kening dan bulu matanya.
Semua makin jelas kelihatan. Ketika ini, dia sudah boleh mendengar. Antara yang paling jelas didengarnya ialah suara anda selain daripada degupan jantung dan bunyi perut anda.
Anda
Kuantiti darah yang mengalir dalam badan semakin banyak. Pada masa yang sama bayi juga perlukan oksigen. Oleh yang demikian, jantung perlu bekerja kuat. Jadi, tidak hairanlah jika ketika ini jantung anda kelihatan sedikit besar. Semua itu adalah untuk memastikannya mampu menjalankan tugas sebaiknya.

Minggu 16
Bayi
Bayi semakin kerap bergerak. Tubuhnya juga mula diselaputi lanugo iaitu rerambut halus. Tujuannya ialah untuk mengekalkan keseimbangan suhu badan. Jantina bayi juga sudah boleh diketahui semasa ultrasound dilakukan.
Anda
Pada saat ini anda sepatutnya rasa lebih segar, seronok dan gembira. Selera makan juga semakin bertambah. Anda mungkin dapat merasa pergerakkan pertama bayi dalam kandungan. Akan tetapi pergerakan bayi anda tidaklah terlalu ketara. Pada masa yang sama, garis halus berwarna gelap di bawah abdomen yang dikenali sebagai linea niagra semakin menyerlah.

Minggu 17
Bayi
Anggota badan bayi kini terbentuk dengan sempurna. Deria rasanya juga sudah mula dibina. Bayi anda sekarang sudah mempunyai cap jarinya sendiri.
Anda
Pinggan ramping anda kini sudah menghilangkan dirinya. Yang tinggal hanyalah perut yang semakin membesar di samping kehadiran sedikit tanda rekahan pada bahagian tersebut. Selain perut, gusi juga mengalami sedikit gangguan. Gusi berdarah ialah antara masalah yang biasa.

Minggu 18
Bayi
Kulit bayi ketika ini masih lagi berkedut kerana dia belum mengumpul lemak. Dia juga sangat aktif bergerak. Bayi juga mula peka terhadap bunyi-bunyian daripada luar. Oleh yang demikian, jangan terperanjat jika tiba-tiba bayi menendang setelah terdengar bunyi kuat.
Anda
Ketika ini anda sudah semakin dapat rasa pergerakkan anak. Dalam masa yang sama, anda juga mungkin mengalami masalah untuk bernafas. Hal ini terjadi kerana membran dalam hidung akan membengkak seterusnya mengganggu peredaran udara masuk ke dalamnya. Selain itu, lelehan faraj juga semakin bertambah.

Minggu 19
Bayi
Sama seperti anda, bayi dalam kandungan juga semakin membesar. Ketika ini gigi susu mulai terbentuk dalam gusi. Dalam masa yang sama, tunas untuk pembentukkan gigi kekal juga muncul.
Anda
Saat ini berat badan anda semakin bertambah. Punggung, paha dan bahagian abdomen adalah antara kawasan yang paling ketara pertambahan beratnya. Urat-urat halus juga mula kelihatan pada muka anda.

Minggu 20
Bayi
Vernis iaitu sejenis bahan putih berminyak mula menyelaputi kulit bayi untuk melindunginya daripada cecair amniotik semasa berada dalam kandungan.
Anda
Rahim semakin cepat membesar dan anda kini telah kelihatan sama seperti ibu hamil lain. Akibat pembesaran perut yang begitu cepat, pusat hampir tidak kelihatan. Tetapi, ada sesetengah ibu hamil pusatnya tidak menjadi rata sebaliknya tertonjol keluar. Ketika ini masalah pedih ulu hati bukanlah sesuatu yang asing. Ini terjadi akibat perubahan hormon yang akan menyebabkan injap pada pintu masuk perut mengendur. Kesannya, asid perut kembali semula ke saluran perut yang dikenali sebagai esofagus. Agar masalah ini tidak berlarutan, elakkan makan terlalu banyak makanan yang terlalu pedas ataupun bergoreng.

Minggu 21
Bayi
Si kecik kini sebesar kira-kira sebiji pisang besar. Sudah besar bukan? Jadi apa salahnya jika anda mula mencari nama terbaik untuknya.
Anda
Pada minggu ini badan anda berupaya menerima makanan lebih daripada biasa.
Jadi, jangan terlalu banyak makan kerana lemak akan berkumpul dan tahap gula mungkin meningkat. Elakkan juga makanan yang tinggi kandungan karbohidrat seperti nasi kerana ini akan menyumbang kepada peningkatan gula dalam darah.

Minggu 22
Bayi
Perkembangan pendengaran bayi di tahap yang memberangsangkan kerana anak kini sudah mula mendengar bunyi dari luar.
Anda
Minumlah segelas jus oren setiap kali anda mengambil makanan yang tinggi zat besinya seperti brokoli dan buah yang diawet. Jus oren membolehkan mineral dari makanan tersebut diserap dengan banyak dan mudah.

Minggu 23
Bayi
Degupan jantung kini boleh dikesan menggunakan seteskop. Dia juga mula pandai tersedu.
Anda
Jika tangan dan kaki beng kak, jangan panik. Perkara ini biasa berlaku pada ibu hamil khususnya di akhir-akhir minggu kehamilan. Proses ini dinamakan sebagai oedema.

Minggu 24
Bayi
Bayi semakin lasak bergerak. Anda juga semakin mahir membaca pergerakkannya. Degupan jantung bayi sudah boleh didengar walaupun hanya menggunakan setoskop biasa. Pendengarannya semakin tajam. Bayi mendengar setiap bunyi yang ada seperti suasana di luar, degupan jantung dan bunyi angin dalam perut ibu. Oleh yang demikian, gunakan masa ini untuk mendengarkan anak dengan muzik atau lagu.
Anda
Empat peratus daripada ibu hamil cenderung mengalami masalah kecing manis atau diabetis pada minggu ini.

Minggu 25
Bayi
Sel-sel otak pada bayi terus berkembang dan menjadi semakin kompleks. Tulangnya juga semakin keras. Kini, bayi semakin sktif belajar bernafas, menyedut dan keluarkan kembali cecair amniotik yang wujud di sekitarnya mereka. Sekiranya bayi tertelan terlalu banyak cecair tersebut, dia boleh tersedu.
Anda
Memasuki minggu ini, pelbagai perasaan akan timbul. Takut, gembira, gementar, suka, risau dan segala jenis macam rasa akan timbul. Jangan terlalu banyak berfikir. Cuba tenangkan diri dengan membanyakkan bacaan tentang kehamilan.

Minggu 26
Bayi
Mula belajar bernafas. Tetapi, pada tahap ini masih belum ada oksigen yang akan masuk ke dalam paru-paru. Tahap ini juga kedudukan bayi dalam keadaan menyongsang. Jangan panik. Dari masa ke semasa bayi akan berada di kedudukkan yang betul setelah berpusing mengikut usia kandungan.
Anda
Akan berlaku perubahan khususnya soal pernafasan. Anda mungkin akan cepat mengah dan rasa seperti kekurangan oksigen. Hal ini di sebabkan oleh saiz bayi yang kian membesar dan mula menekan jantung dan paru-paru.

Minggu 27
Bayi
Bayi makin membesar manakala kulit pula mula menebal dan berkedut dan diselaputi dengan satu lapisan yang dinamakan vernix caseosa
Anda
Anda mungkin menghadapi beberapa penyakit biasa ketika mengandung iaitu kecing manis dan darah tinggi. Oleh yang demikian, anda perlu tahu keadaan fizikal terkini dan pastikan kesihatan berada di tahap normal.

Minggu 28
Bayi
Pada usia ini, bayi sudah cukup sifatnya dan boleh lahir pada bila- bila masa. Jika bayi lahir pada usia ini, dia diketegorikan sebagai bayi pramatang. Jantungnya kini berdegup sebanyak 150 degupan seminit.
Anda
Payu dara kini mula mengeluarkan kolostrum iaitu sejenis cecair likat. Jika anda berasa tidak selesa dengan pengeluaran kolostrum tersebut, cuba pakai pad pada baju dalam bagi mengelakkan rasa melekit.

Minggu 29
Bayi
Bayi semakin membesar dan memenuhi ke seluruhan ruang dalam perut. Kepalanya mula sepadan dengan badan. Kening dan bulu mata tumbuh sepenuhnya. Bulu pada badannya terus tumbuh. Matanya boleh membuka dan ditutup dan mula fokus.
Anda
Dengan perut yang semakin besar, tidur anda kini sering tidak nyenyak. Selain daripada rasa tidak selesa semasa berbaring, anda juga semakin kerap ke bilik air. Ketika ini cara tidur yang betul penting untuk memastikan anda berpeluang untuk berehat secukupnya. Agar anda rasa selesa ketika berbaring, alaskan perut dan kaki dengan bantal.

Minggu 30
Bayi
Bayi kini sudah pandai menyesuaikan keadaan mengikut keselesaan.
Anda
Anda akan cepat rasa letih kerana perut semakin membesar. Jika berjalan terlalu laju anda akan cepat lelah. Jadi adalah penting untuk anda menjaga posisi. Tidur pada waktu malam juga mungkin akan terganggu.

Minggu 31
Bayi
Kini, dia sangat aktif dan sudah dapat membezakan antara terang dan gelap.
Anda
Sesak nafas atau termengah-mengah akan mudah berlaku sekiranya anda tidak berhenti bergerak. Jadi banyakkan berehat. Jika waktu malam anda rasa kurang selesa untuk bernafas, pastikan pakaian anda tidak terlalu ketat dan panas.

Minggu 32
Bayi
Bayi semakin aktif bergerak. Dia akan memusingkan badan, menendang dan membuat lebih banyak lagi aksi berbanding sebelum ini. Walaubagaimanapun, kedudukan kepala bayi tetap berada si permukaan serviks untuk keluar pada bila-bila masa.
Anda
Jika anda bekerja, mulakan cuti sekarang. Nikmati hujung minggu kehamilan ini dengan pelbagai persediaan mental dan fizikal.

Minggu 33
Bayi
Jari jemari mulai terbentuk dengan sempurna. Begitu juga halnya dengan paru-paru. Ketika ini, bayi mula berlatih bernafas.
Anda
Kenaikan berat badan kini tidak terlalu cepat.
Jika tidak pun, berat badan hanya meningkat lebih kurang 1kg untuk setiap minggu. Anda digalakkan memeriksa tahap kesihatan dengan kerap agar tidak berlaku sebarang masalah.

Minggu 34
Bayi
Berat badannya semakin bertambah. Matanya mula sensitif terhadap cahaya. Kening dan bulu mata kini sudah cukup matang dan mata janin kini sudah pandai berkedip-kedip. Sekiranya janin adalah lelaki, testisnya mula membentuk dengan sempurna.
Anda
Tekanan darah mungkin akan meningkat agak tinggi. Jadi, jaga sedikit perasaan dan emosi pada peringkat ini.

Minggu 35
Bayi
Tulang kepalanya lembut dan mudah lentur. Manakala kulitnya mula berubah menjadi kemerah-merahan. Kini, dia tahu waktu tidur dan berjaga.
Anda
Banyakkan berbincang tentang emosi dan kesediaan anda ketika di bilik bersalin bersama pasangan atau sesiapa yang akrab agar rasa gentar dan risau semakin hilang. Dalam masa yang sama, kawal diet. Jangan berjalan keluar rumah kerana takut kontraksi boleh bermula pada bila-bila. Bersiap sedia dari sekarang.

Minggu 36
Bayi
Kontraksi awal boleh bermula sekarang. Jika berlaku tidak terlalu kerap, itu bukan tanda ingin bersalin. Itu adalah tanda kandungan anda semakin mencapai tahap matang. Bayi mula pandai bernafas dengan betul, menghisap jari dan belajar menelan.
Anda
Pernafasan kini menjadi semakin tidak selesa. Pangkal rahim juga rasa sakit akibat tekanan yang dibuat oleh bayi dalam kandungan. Pemeriksaan kehamilan pula akan dijalankan setiap minggu mulai sekarang.

Minggu 37
Bayi
Bulu pada badan bayi mula berkurangan. Bayi mula mengeluarkan hormon yang dinamakan cortisone yang membantu mematangkan orang pernafasan.
Anda
Bersedia, mungkin anda bersalin pada minggu ini. Periksa semua persiapan sebelum dan selepas bersalin. Jangan takut untuk bertanya apa jua soalan berkaitan dengan proses kelahiran kepada orang yang berpengalaman. Sikap ini membantu anda menambah lagi ilmu untuk digunakan ketika di bilik bersalin.

Minggu 38
Bayi
Rambut mulai memanjang sehingga mencecah ukuran 5cm. Begitu juga dengan kukunya.
Anda
Sentiasa peka dengan perubahan diri. Pastikan tanda-tanda ingin bersalin. Jika ada tanda cepat-cepat pergi ke hospital. Jangan terlalu banyak membuat kerja-kerja rumah takut nanti tenaga anda hilang. Kumpulkan tenaga untuk beberapa hari ini supaya tenaga yang disimpan itu dapat digunakan sepenuhnya ketika di bilik bersalin.

Minggu 39
Bayi
Pada peringkat ini, anak dalam kandungan kurang aktif dan banyak memperoleh antibodi daripada ibu.
Anda
Masa kini sudah tiba. Rasa sakit kontraksi kini semakin kerap. Walaupun begitu, jangan biarkan rasa sakit itu menghantui anda. Tenangkan fikiran dan bersiap sedia untuk ke hospital.

Minggu 40
Bayi
Pada hujung minggu kehamilan pembesaran anak mula berkembang dengan lebih cepat.
Lima tulang yang membentuk tengkoraknya belum bergabung antara satu sama lain.
Anda
Anda mula terasa tanda-tanda sebelum bersalin: sakit belakang, sakit seolah-olah senggugut, pergerakan perlahan usus, kontraksi dan pecah ketuban. Dalam pada itu akan ada perasaan takut untuk bersalin dan ragu-ragu dengan kemampuan diri untuk meneran.


P/S : minggu ke berapa dah ni kan? Tengok widget kat atas belah kanan tu.. =)
 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...